27 Januari 20XX
Keadaan sekeliling yang tadinya hingar kini
menjadi suram. Cahaya juga semakin malap. Hanya kawasan berhampiran jendela
kaca sahaja yang kelihatan bercahaya dek sinaran mentari senja. Garisan pada
lantai gereja yang mencantumkan beribu-ribu keping marmar gereja ditenung lama.
Seorang pemuda berpakaian hitam lengkap duduk mendakap sebuah bingkai gambar.
Wajah gadis di dalam gambar itu ditenung sesekali. Kelopak matanya bertakungkan
jernihan air mata. Tiada sebarang nada, suara, mahupun irama yang menemaninya.
Yang tinggal hanyalah kesedihan dirinya yang tidak diduga.
Tapp..tapp..tapp..tapp..
Bunyi tapak kasut semakin menghampiri lelaki
itu. Tubuhnya masih kaku. Di mindanya pula tidak pernah memikirkan kemungkinan
untuk menghadapi hari seperti hari ini.
"Hongki, sampai bila kau nak duduk kat
sini?"
Tanya Jonghoon, pemilik bunyi tapak kasut
tadi.
Dia cuma merisaukan sahabatnya yang satu itu.
Memang benar, Hongki amat mencintai kekasihnya, Gyuri. Tetapi takdir tidak
mampu dipersalahkan. Setiap yang hidup pastinya akan menemui ajal mereka.
Jonghoon perlu berusaha untuk menyedarkan Hongki tentang kenyataan itu.
"Dah la, mari kita balik. Sampai ke
petang dah ni. Dekat dua jam kau seorang diri dalam ni. Dia tak mungkin hidup
balik. Kau duduk sini sampai berhari-hari pun, Gyuri tetap takkan hidup balik. Sampaikan
pameran lukisan kau pun tak terjaga."
Tegas Jonghoon.
"Kau balik la dulu. Aku nak
bersendirian."
Balas Hongki pendek.
Jonghoon hanya mampu menggeleng. Puas sudah
dia memujuk Hongki untuk pulang. Namun hatinya keras. Dia lebih memilih untuk
berada di situ. Akhirnya Hongki ditinggalkan bersendirian di dalam gereja
tersebut.
********
Langit kelihatan makin suram dan kelam. Hari
sudah pun menjelang malam namun Hongki tetap tidak berganjak dari tempat
duduknya. Dalam kesedihan dia tertidur. Entah bila terlelap pun tidak
disedarinya. Seorang kanak-kanak menghampiri Hongki lalu duduk bersebelahan
dengannya. Perlahan dia menarik bingkai gambar yang berada di dalam pelukan
Hongki.
Perbuatannya itu membuatkan Hongki terjaga
dari tidurnya. Terperanjat apabila melihat seorang kanak-kanak yang tidak
dikenalinya duduk bersebelahan dengannya. Tambahan pula kanak-kanak itu hanya
seorang diri. Dan wajahnya pula kelihatan berseri-seri.
"Ada apa ya adik?"
Tanya Hongki pada anak kecil itu.
"Pakcik, kenapa duduk sini seorang diri?
Dah malam pula tu."
Balas budak lelaki tersebut.
"Pakcik?"
Hongki terpinga-pinga.
"Kenapa mata pakcik bengkak? Ada perkara
sedih yang dah menimpa diri pakcik ke?"
Tambah kanak-kanak itu lagi.
Hongki yang tidak menjawab pertanyaan itu
membuatkan budak lelaki itu meneruskan percakapannya tanpa dipinta.
"Dalam hidup kita ni, banyak perkara
yang tidak diduga akan berlaku. Mahu atau tidak, kita perlu menerimanya.
Walaupun perkara tersebut kadang-kala melukakan diri kita sendiri."
Petah dia meneruskan kata-kata.
"Walaupun apa yang berlaku itu bukan
kehendak kita?"
Tanya Hongki tiba-tiba.
Entah mengapa dia boleh terikut perbualan
tersebut.
"Ya, walaupun ianya bukan kehendak kita.
Ini namanya takdir."
Balas budak lelaki itu.
"Takdir? Ermm... Siapa nama adik ni?"
Tanya Hongki.
"Leo."
Pendek sahaja jawapannya.
"Oh, Leo. Jadi, buat apa kat sini?"
Tanya Hongki lagi.
"Takdir yang telah menentukan kehadiran
saya ke sini."
Balas Leo.
Jawapannya yang bersahaja itu membuatkan
Hongki kaget. Anak sekecil itu sudah tahu apa yang dimaksudkan dengan
takdir.
"Takdir? Maksudnya pertemuan kita berdua
ini pun sudah ditentukan?"
Pertanyaan muncul lagi.
Kedua-dua anak mata mereka bertemu.
"Segala yang berlaku itu adalah takdir.
Ini adalah takdir pakcik. Pakcik perlu terima seadanya. Dan takdir pakcik juga
yang telah menghantar saya ke sini."
Jawapan Leo membuatkan Hongki semakin
tertanya-tanya.
"Pakcik tengok gambar ni."
Ujar Leo lalu menunjukkan gambar Gyuri yang
diambilnya dari pelukan Hongki.
"Mungkin kematian sudah tertulis
untuknya. Mahu atau tidak, kita semua harus menerima pemergian dia."
Tambahnya lagi.
"Tapi kemalangan tu tak sepatutnya
terjadi! Kalau dari awal lagi dia dengar cakap saya. Pasti semua ni takkan
terjadi. Gyuri... dia tak patut tinggalkan saya. Semua ni takkan terjadi kalau
masing-masing mengalah. Ego saya tinggi. Terlalu tinggi untuk mengalah
dengannya. Saya yang menjadi punca kemalangan itu terjadi."
Hongki menyalahkan dirinya.
"Kenapa saya tak boleh mengalah dengan
dia dari awal? Kalau tidak, pasti semua ni takkan jadi. Pasti saya takkan
berada di sini sekarang."
Tambah Hongki.
"Segala-galanya yang berlaku itu adalah
takdir. Tapi, ada kalanya takdir itu boleh diubah."
Celah Leo tiba-tiba.
"Mampukah kita untuk mengubah takdir?
Bukankah ianya sudah pun tertulis."
Hongki bertanya walaupun sudah tahu akan
jawapannya.
"Peluang itu ada. Hargailah ia dengan
sebaiknya."
Jawab Leo lalu berlari meninggalkan Hongki
yang masih tidak mendapatkan jawapan.
"Peluang? Tapi..."
Hongki masih tidak mengerti.
Dia ingin mengetahui maksud sebenar peluang
yang dinyatakan tetapi Leo sudah pun menghilang daripada pandangannya.
********
Setelah beberapa jam dia tertidur, Hongki
bangun lalu menggosok matanya yang bengkak akibat semalaman menangisi pemergian
kekasih hatinya itu. Jam tangan yang terlilit pada pergelangan tangannya
dipandang sekilas. Sepuluh minit telah melepasi jam sembilan. Sudah
terlalu lama dia berada di dalam gereja itu.
Hongki bangun lalu mengemaskan pakaiannya.
Bingkai gambar yang dipegang diletakkan kembali pada tempat asal. Dengan berat
hati dia melangkah keluar daripada gereja tersebut. Hongki hanya menunduk
memandang bumi dan tanpa disedari, tubuhnya melanggar seseorang. Badannya yang
lemah itu terjelepok di hadapan pintu gereja. Matanya menangkap sepasang kaki
yang berdiri tegak di hadapannya. Perlahan dia mengangkat wajahnya untuk
memandang empunya kaki tersebut. Hampir terkeluar anak matanya apabila dia
melihat sekujur tubuh dihadapannya itu adalah kekasihnya yang baru sahaja
meninggal dunia.
“Gyuri...Gyuri..”
Hongki bingkas bangun memeluk wanita
tersebut.
“Eh kenapa dengan encik ni. Encik ni siapa?”
Gyuri menolak dan menepis tangan Hongki.
Hongki seolah-olah tidak mengerti. Benarkah
wanita di hadapannya itu adalah kekasih yang dicintainya? Tetapi mengapa dia
tidak mengenali Hongki? Ya, sememangnya dia adalah Ahn Gyuri. Kekasih Hongki
yang telah pun meninggal dunia. Matanya digosok berulang kali, terpisat-pisat
melihat wanita tersebut.
“Gyuri, ni saya. Awak tak kenal saya ke?”
Tanya Hongki.
“Gila!”
Ujar Gyuri lalu meninggalkan Hongki dalam
keadaan tertanya-tanya.
Hongki menghantar Gyuri lewat matanya.
Mindanya makin bercelaru. Apakah dirinya sedang dipermainkan takdir? Dia yakin
benar kekasihnya itu telah pun meninggal dunia. Mana mungkin orang yang telah
meninggal dunia boleh hidup kembali. Dengan langkah yang longlai, Hongki kembali
mengatur langkah.
Tanpa disedari, dia berada di hadapan studio
di mana Gyuri sering berlatih menari. Dia melihat kekasihnya yang satu itu baru
sahaja menukar pakaian kepada baju khas untuk penari ballet. Dan tanpa sedar
dia tersenyum melihat Gyuri sebelum kembali melangkah untuk pulang ke rumahnya.
Sampai sahaja dihadapan pintu apartmen
miliknya, Hongki menyeluk poket seluar dan mengeluarkan sebentuk kunci yang
agak unik bentuknya. Dia menekan kunci tersebut pada tombol pintu sebelum
melangkah masuk ke dalam rumahnya.
“Kau pergi mana? Aku telefon kau tak dapat
pun.”
Tanya Jonghoon yang baru sahaja muncul dari
belakang Hongki.
“Kau ni buat terkejut aku je. Masuk la. Aku
baru balik ni.”
Jemput Hongki.
Mereka berdua masuk ke dalam rumah. Seperti
biasa Jonghoon sudah menganggap apartmen tersebut seperti miliknya sendiri.
Datang dan tidur sesuka hati. Hongki pula tidak kisah kerana hubungan mereka
memang terlalu rapat. Hongki menuju ke bilik tidurnya untuk menyalin pakaian.
Tuala yang tersidai pada penyidai ditarik sebelum melangkah menuju ke bilik
air. Curahan pancuran dibiarkan membasahi kepala serta tubuhnya. Lega apabila
tubuhnya dibasahi seperti itu. Selesai sahaja mandi, dia menyarung sehelai
kemeja biru ringkas serta berseluar slack hitam.
“Kau pergi mana? Tadi aku lalu depan studio
kau. Tapi tak ada sesiapa pun. Tutup pula tu.”
Tanya Jonghoon.
Hongki membuka peti sejuk lalu menggapai dua
botol minuman soda dan melontarkan sebotol kepada Jonghoon. Sebelum menjawab
soalan Jonghoon, dia meneguk minuman tersebut untuk menghilangkan dahaga.
Perutnya juga meragam minta diisi. Semalaman dia tidak menjamah makanan.
“Aku tanya ni. Kau dah tak reti nak jawab
ke?”
Jonghoon menantikan jawapan Hongki.
“Aku dari gereja la. Mana sempat nak terus
pergi studio.”
Jawab Hongki.
Jonghoon kehairanan. Sejak bila pula Hongki
ke gereja? Hongki yang dikenalinya itu amat payah menjejakkan kaki ke gereja.
Apatah lagi untuk singgah lama di sana.
“Gereja? Kau mimpi apa malam tadi sampai
bukan main semangat pergi berdoa kat gereja awal-awal pagi.”
Sindir Jonghoon.
“Eh kau ni tanya pula. Bukan ke kau juga yang
pergi gereja tu dengan aku semalam. Aku tak ada mood ni. Sedih pun tak hilang
lagi.”
Balas Hongki.
“Aku pergi gereja semalam? Kau biar betul.
Semalam bukan kau duduk kat studio sampai lewat malam ke? Lepas tu aku datang
bawak bir untuk kau. Bila pula kita pergi gereja?”
Tanya Jonghoon kehairanan.
Hongki semakin pelik. Memang Jonghoon sering
berkunjung ke studionya pada lewat malam jika dia berada di sana tapi rasanya
hari terakhir dia berada di studio sehingga lewat malam adalah kira-kira
sepuluh hari yang lalu. Matanya menangkap tarikh pada kalendar. 17 Januari.
Matanya terbuntang apabila melihat tarikh yang tertera pada kalendarnya.
“Hari ni berapa haribulan?”
Pantas Hongki bertanya.
“Tujuh belas la. Kau ni buat-buat tanya pula.
Jangan lupa 27 ni kau punya studio exhibition. Lukisan yang paling mahal tu
jangan jual dekat sebarang orang pula okay.”
Jonghoon mengingatkan.
Fikiran Hongki melayang memikirkan perkara
yang sedang berlaku. Takdir? Adakah ini takdir? Dia sedang mengubah takdir.
Gyuri.
Ya, Gyuri yang berdiri di hadapannya tadi
adalah kekasih yang amat dicintainya selama ini. Tapi mengapa Gyuri tidak
mengenalinya? Hongki teringat akan kata-kata Leo yang ditemuinya malam tadi.
"Segala-galanya yang berlaku itu adalah
takdir. Tapi, ada kalanya takdir itu boleh diubah."
"Peluang itu ada. Hargailah ia dengan
sebaiknya."
Mungkin ini adalah peluang yang
dimaksudkannya. Tapi siapa anak kecil itu? Dan mengapa Gyuri tidak mengenaliku?
Hongki bermonolog. Dia hanya berdiri termangu memikirkan peluang yang tiba-tiba
diberikan padanya.
“Jonghoon, kau tahu tak Gyuri meninggal?”
Hongki cuba memancing sesuatu.
“Gyuri? Ahn Gyuri tu ke? Budak ballet tu kan?
Aku baru nampak dia pagi tadi. Kau nak menipu pun beragak la. Tapi sombong la
dia tu. Mentang-mentang la cantik. Putih gebu macam angsa. Aku senyum pun tak
balas.”
Balas Jonghoon.
“Aku bergurau je. Tadi aku terserempak dengan
dia tapi dia boleh tanya pula aku ni siapa.”
Hongki bernada hambar.
“Memang patut la dia tanya. Dia bukan kenal
kau pun hahaha.”
Jawapan Jonghoon membuatkan Hongki tergamam
Apa maksudnya Gyuri tidak mengenaliku? Hongki
tertanya sendiri.
********
18 Januari 20XX
Lampu jalan menemani langkah Hongki satu
persatu. Dia nekad untuk mendekati Gyuri walaupun wanita itu tidak mengenalinya
dan dirinya sendiri tidak tahu penyebabnya. Inginkan penjelasan tetapi pada
siapa pula harus dia bertanya.
Budak itu!
Ya, kanak-kanak tersebut mungkin boleh
memberikan jawapan. Tapi bagaimana pula ingin mencarinya? Hongki bertambah
kusut. Kakinya menyepak batu-batu kecil sambil mengatur langkah.
Ahn Gyuri.
Serta-merta langkahnya terhenti. Matanya
menangkap sesusuk tubuh sedang berdiri untuk melintas jalan. Dia berkira-kira
untuk menegurnya.
Hoooonnnnnnn!
Pantas Hongki menarik Gyuri ke dalam
pelukannya. Cuai sungguh wanita itu melintas tanpa menoleh kiri dan kanan.
Gyuri terkejut dengan tindakan Hongki sekaligus berterima kasih kerana telah
menyelamatkannya.
“Maaf. Terima kasih.”
Ucap Gyuri.
“Tak apa. Awak pun satu, lain kali melintas
tu tengok la betul-betul. Bukannya saya boleh menyelamatkan awak setiap masa.”
Tegur Hongki.
“Maaf, saya memang tak perasan ada kereta tu.
Lagipun memang kereta tu yang salah. Kenapa awak nak marah saya pula ni.”
Balas Gyuri tidak puas hati dengan teguran
Hongki.
“Saya cuma risau...”
Hongki belum sempat menghabiskan ayatnya.
“Tak apa, awak tak perlu risaukan saya. Saya
tak kenal pun awak. Tapi terima kasih banyak untuk hari ini.”
Celah Gyuri.
“Maafkan saya. Nama saya Hongki, Lee Hongki.”
Hongki menghulurkan tangannya.
Dengan teragak-agak Gyuri menyambut huluran
tersebut.
“Gyuri, Ahn Gyuri.”
Masing-masing membalas senyuman dan tersipu
malu.
********
21 Januari 20XX
Langkah diatur melalui jalanan yang
disediakan untuk pejalan kaki. Pandangan pula dihamparkan pada pepohon yang
menabiri ruangan pejalan kaki. Kedua-dua mereka kelihatan janggal. Sesekali
Hongki menjeling Gyuri yang berjalan seiringan dengannya.
“Ermm....”
“Awak..”
Serentak mereka bersuara.
“Tak apa, awak cakap dulu.”
Ucap Gyuri.
“Eh awak la cakap dulu.”
Pinta Hongki.
Masing-masing tersenyum seperti pasangan yang
baru berkenalan. Bagi Gyuri itu sememangnya perkenalan awal untuk mereka tetapi
ianya tidak bagi Hongki.
“Hongki-ssi, saya suka tengok hasil lukisan
awak. Semuanya cantik-cantik.”
Puji Gyuri.
“Biasa je. Terima kasih. Awak pun apa
kurangnya.”
Balas Hongki.
“Saya? Saya mana pandai melukis.”
Gyuri tergelak dengan pujian yang diberi
Hongki.
“Bukan..bukan melukis. Maksud saya bila awak
menari, awak nampak sangat cantik.”
Hongki menahan malu.
Pipinya merona kemerahan. Tidak kurang juga
Gyuri yang menerima pujian. Kedua-dua mereka meneruskan perbualan dan berkongsi
pelbagai cerita.
“Sayang, awak tahu tak kenapa saya suka
melukis?”
Tanya Hongki.
“Meluangkan masa? Minat dari kecil? Awak
memang berbakat?”
Gyuri memberikan pelbagai jawapan.
“Bukan, sebab saya nak lukis kecantikan awak.”
Ujar Hongki.
“Heol! Manisnya mulut berkata-kata.”
Gyuri menjelirkan lidah di akhir katanya.
“Betul la. Awak tahu tak, masa bila awak akan
jadi paling cantik?”
Hongki bertanya lagi.
“Mana la saya tahu, awak ni tanya yang
bukan-bukan je la.”
Gyuri tersipu malu dengan pertanyaan teman
lelakinya itu.
“Masa awak pakai baju ballet lepas tu awak
menari. Masa tu awak la yang paling cantik dalam dunia ni.”
Hongki terus memuji.
Dia berganjak ke hadapan lalu mengajuk tarian
ballet dan membuat bentuk hati menggunakan kedua-dua lengannya dengan
meletakkan tangan di atas kepala. Gyuri yang berasa malu mengejar Hongki lalu
menampar lengannya.
********
23 Januari 20XX
Jonghoon membantu sahabatnya membuat
persiapan untuk hari pameran galeri lukisan yang bakal berlangsung tidak lama
lagi. Hongki pula asyik menyiapkan hasil lukisannya. Bilik tersebut penuh
dengan aroma yang boleh membuatkan kepala berasa pening. Tetapi tidak bagi
Hongki. Dia suda lali dengan bau cat minyak yang sentiasa menusuk hidungnya
saban hari.
“Annyeong haseyo. Hongki-ssi ada?”
Tanya Gyuri yang baru sahaja muncul di situ.
“Ohhh Gyuri-ssi. Hongki ada kat dalam. Jalan
sini terus je lepas tu belok kiri terus lagi ada satu bilik, dia dekat situ.”
Terang Jonghoon.
Kedua-dua mereka membalas senyuman sebelum
Gyuri berlalu meninggalkan Jonghoon untuk bertemu Hongki. Jonghoon
terpinga-pinga melihat kehadiran Gyuri.
Tokk.. tokk.. tookkkk..
Hongki yang sedang khusyuk melukis itu tidak
menyedari langsung akan kedatangan Gyuri yang kini telah pun berdiri di belakangnya. Gyuri
menepuk bahu kiri Hongki dan mengacukan jari telunjuk pada wajah Hongki. Tidak
semena-mena jari tersebut mencucuk pipi pemuda itu.
“Pabo! Hahaha.”
Gyuri tertawa seronok kerana dapat mengusik
Hongki.
“Eh bila awak sampai?”
Tanya Hongki.
“Baru je.”
Gyuri membalas sambil matanya merayau melihat
sekeliling bilik tersebut.
Hongki kini mengalihkan perhatiannya pada
gerak-geri Gyuri yang leka meneroka seluruh bilik tersebut. Dia teringat akan
kata-kata budak lelaki yang ditemuinya malam tadi.
“Adakah pakcik bahagia sekarang?”
Tanya Leo.
Hongki mengangguk serta menggariskan senyuman
tanda bahagia dengan peluang yang telah diberi padanya. Awalnya dia terkejut
kerana Leo muncul secara tiba-tiba sahaja dan bertanya soalan tersebut.
“Ini ke takdir yang dimaksudkan tu? Tapi
kenapa dia langsung tak kenal siapa saya?”
Hongki pula bertanya.
“Setiap pemberian perlu ada pulangannya. Ya,
masa telah pun diulang semula ke sepuluh hari sebelum kematian dia. Tapi
segala-galanya tak mungkin sama seperti mana yang dah tertulis sebelum ni.
Kerana itulah dia langsung tak kenal pakcik. Dalam ingatan dan kehidupan dia,
pakcik tak pernah wujud.”
Terang Leo.
Hongki cuba untuk memahaminya tapi ternyata
otak yang dimilikinya tidak mampu untuk mentafsir segala ayat kanak-kanak itu.
“Tapi...”
Belum sempat Hongki memahami segala-galanya,
sekali lagi Leo menghilangkan dirinya.
“Awak.. dengar tak saya tanya tadi?”
Suara Gyuri membuatkan Hongki kembali ke alam
nyata.
“Awak tanya apa tadi?”
Balas Hongki.
“Saya tanya, lama lagi ke awak nak duduk
sini? Saya nak ajak awak ke kafe depan tu.”
Gyuri mengulangi pertanyaannya.
“Oh, tak adalah. Awak tunggu kejap. 10 minit
ya. Sementara tu tunggu la kat depan. Boleh tinjau-tinjau apa yang patut.”
Cadang Hongki.
“Okay.”
Balas Gyuri lalu meninggalkan bilik tersebut.
Hongki membersihkan dirinya untuk
menghilangkan segala bau cat minyak yang melekat pada tubuhnya. Studio tersebut
memang sudah dianggap seperti rumahnya sendiri sehinggakan di situ lengkap
dengan katil, bilik air, kabinet dapur, dan juga peti ais.
********
Hongki menuangkan teh ke dalam cawan yang
berada di hadapan Gyuri. Kemudian tangannya mula meletakkan dua kiub gula
sebelum mengacau teh tersebut. Gyuri terkedu dengan perbuatan Hongki. Dia cukup
suka menerima layanan seperti itu dan baginya Hongki amat memahami segala
kegemaran dan juga perkara yang tidak disukai olehnya. Gyuri merenung Hongki
yang sedang menghulur secawan teh padanya.
Renungan yang tajam.
Hongki cepat-cepat melarikan pandangannya ke
arah lain lalu mengangkat cawan dan menyuakan teh panas ke mulutnya.
“Sssstt.. Panas.”
Merah mukanya.
Gyuri tertawa kecil dengan gelagat Hongki
yang melucukan itu.
“Hongki-ssi, macam mana awak tahu saya suka
teh daripada kopi? Dan sukatan gula tu juga?”
Tanya Gyuri.
“Saya? Errr... Saya.. Ermm saya Cuma agak je.
Dari personaliti awak agaknya.”
Balas Hongki.
Dia tersenyum apabila teringat akan
kenangannya bersama Gyuri.
“Coffee or tea?”
Tanya Hongki.
“Coffee? Tak nak la! Nak teh la. Saya mana
suka minum kopi.”
Gyuri mencebik.
“Awak ni asyik dengan teh je. Kalau macam ni,
tak dapatlah saya nak merasa foam kiss, sayang.”
Hongki mula bersikap nakal.
“Heat kiss nak? Hahaha.”
Gyuri menunjukkan teko teh yang sedang
berasap pada Hongki.
“Hahaha okay sayang. Saya gurau je.”
Ujar Hongki.
Dia menghirup caramel moccha latte
kesukaannya kemudian menyepit dua kiub gula untuk dimasukkan ke dalam cawan teh
Gyuri.
“Dua kiub untuk tanda cinta kita.”
Tambah Hongki.
“Eeeeeeeeeeeee kenapa pula? Dua kiub ni sejak
saya tak kenal awak lagi okay.”
Gyuri menjelirkan lidahnya.
“Saya tak peduli. Yang saya tahu dua kiub ni
umpama kewujudan saya dan juga awak. Teh ni tak mungkin lengkap bagi awak kalau
Cuma satu kiub gula kan? Macam kehidupan juga, tanpa awak tidak bermakna la
kehidupan saya.”
Jelas Hongki.
Wajahnya bersungguh-sungguh menjelaskan
perihal tersebut. Gyuri pula tidak menunjukkan riak serius malahan dia hanya
membuat memek muka untuk mengajuk kelakuan dan kesungguhan Hongki.
********
24 Januari 20XX
Setelah beberapa hari berlalu, akhirnya Hongki
berjaya mencari lokasi di mana Gyuri dilaporkan kemalangan. Itu pun dengan
bantuan Jonghoon yang sentiasa bersedia membantu sahabatnya yang satu itu.
“Kau nak buat apa cari jalan tu?”
Tanya Jonghoon.
“Aku ada hal penting. Masa aku tak banyak.”
Ucap Hongki.
Ya, dia tidak mempunyai banyak masa lagi.
Walaupun dia berjaya memutarkan masa, segala-galanya tetap akan berlaku seperti
yang telah tertulis. Gyuri akan mengalami kecelakaan pada hari yang sama
menjadi punca kematiannya.
“Ingat, walaupun pakcik bahagia sekarang,
takdir tetap tidak boleh diubah dengan semudah itu. Dia tetap akan mengalami
kemalangan seperti mana dia sepatutnya alami.”
Kata-kata Leo berlegar di ruang fikiran
Hongki.
“Kau siap-siap ni nak pergi mana pula? Aku
baru je sampai.”
Jonghoon mengeluh.
“Aku nak keluar kejap dengan Gyuri. Kau tolong
aku tengokkan studio tu ya.”
Pinta Hongki.
Dia mencapai sekaki payung berwarna biru
sebelum melangkah keluar dari apartmen miliknya. Mengikut apa yang dilaluinya,
hujan bakal turun dalam masa satu jam lagi. Walaupun langit pada ketika itu agak
cerah.
********
Hongki menanti kehadiran Gyuri dengan penuh
sabar. Mereka telah berjanji untuk berjumpa di taman tersebut pada jam dua
petang dan sekarang jam menunjukkan sepuluh minit sebelum tepat pukul dua.
Hongki tidak senang duduk. Dia sudah habis fikir untuk memberitahu hal sebenar
pada Gyuri tapi dia tahu, Gyuri tak mungkin akan percaya dengan kata-katanya.
Potongan akhbar mengenai kemalangan Gyuri disimpan kembali ke dalam poket
sweater hitam jalur yang tersarung pada tubuhnya. Dari jauh lagi dia suda
melihat Gyuri yang sedang berlari anak ke arahnya.
“Dah lama ke awak tunggu?”
Tanya Gyuri.
“Tak adalah. Saya baru je sampai ni.”
Balas Hongki.
Mereka berjalan seiringan. Gyuri hairan
melihat Hongki memegang sekaki payung.
“Hari tak hujan pun tapi kenapa awak bawa
payung tu?”
Tanya Gyuri.
Hongki tidak menjawab pertanyaan itu dan
membiarkannya dibawa angin pergi. Matanya melirik pada jam yang terlilit di
tangan kirinya. Tepat jam dua petang. Pantas dia membuka payung tersebut lalu
menarik Gyuri rapat dengannya. Dia memeluk bahu Gyuri agar tidak basah terkena
tempias air hujan. Dengan tidak semena-mena hujan turun mencurah-curah
membasahi bumi.
“Macam mana awak tahu?”
Tanya Gyuri kehairanan.
Hongki hanya menjungkitkan bahu dan membalas
pertanyaan Gyuri dengan senyuman.
“Saya cuma ingin capai cita-cita saya! Itu
sahaja. Benda semudah itu pun awak tak boleh nak faham.”
Tegas Gyuri.
Dia bakal menyertai pertunjukkan ballet
kebangsaan yang akan berlangsung pada hari yang sama dengan pameran lukisa
Hongki. Itulah satu-satunya peluang yang telah lama dinantikan olehnya. Dia
ingin namanya dikenali ramai. Dia mahu semua orang tahu Ahn Gyuri seorang
penari ballet yang berkebolehan dan layak berada tinggi di persada dunia.
“Tapi sayang, kan awak dah janji yang awak
akan jadi tetamu istimewa saya untuk pameran tu. Awak tak pegang pada janji
awak. Semudah itu awak mengenepikan perasaan saya dan janji kita!”
Hongki juga meninggikan suaranya.
“Takkan sebab pameran awak tu, saya kena
lepaskan impian saya? Saya pun ada impian saya juga.”
Jelas Gyuri.
Hujan lebat menjadi saksi pergaduhan air mata
antara sepasang kekasih yang sukar untuk berkelahi itu. Tetapi hanya kerana
sesuatu yang amat penting dalam hidup mereka, masing-masing menahan ego sendiri
untuk tidak mengalah.
********
25 Januari 20XX
“Sayang, tolong la. Sekali ni je saya minta
awak tolong saya.”
Pinta Hongki di hujung talian.
“Saya takkan ubah pendirian saya.”
Balas Gyuri pendek.
“Takkan awak tak sayang saya.”
Hambar.
“Kalau saya pilih untuk ke pameran tu, saya
sayang awak. Dan kalau saya tak ke sana, saya tak sayang awak? Macam tu?”
Tanya Gyuri.
Hongki seboleh-boleh memujuk Gyuri agar
bersetuju untuk berada di pameran lukisannya.
“Ermmm..”
Nadanya lemah sahaja.
“Awak yang tak sayang saya. Sebab tu awak
lebih rela saya tak dapat capai impian saya.”
Ucap Gyuri seraya memutuskan panggilan.
Hongki terkilan dengan sikapnya yang agak
mementingkan diri. Kalau la dia tidak memaksa Gyuri, pasti semua ini tidak
berlaku. Dia tersenyum apabila melihat Gyuri yang sedang melambai ke arahnya.
Perlahan dia menghampiri wanita itu.
“Macam mana latihan awak? Penat ke?”
Tanya Hongki.
“Tak adalah. Saya okay je. Cuma banyak
berlatih untuk pertunjukkan kebangsaan tu je. Maaflah, saya tak dapat nak
datang pameran awak. Hari pertunjukkan tu sama dengan hari pameran galeri
lukisan awak.”
Jelas Gyuri.
Hongki cuma membalas dengan senyuman.
Segala-galanya berlaku seperti yang telah diduga olehnya. Dia tidak boleh
memaksa Gyuri kerana mereka bukanlah sepasang kekasih seperti mana hidupnya
sebelum kemalangan tersebut terjadi. Tetapi hanyalah sepasang kekasih yang baru
sahaja menjalin cinta. Walaupun ianya tidak masuk akal, Hongki tetap berusaha
agar Gyuri tidak mengalami kemalangan yang sama.
“Tak apa. Saya faham.”
Hongki cuba menyembunyikan rasa sedihnya.
Jari-jemari Hongki menyulam mesra jemari
Gyuri. Senyum bahagia mekar pada wajah mereka. Mereka telah berjanji untuk meluangkan masa bersama hari
ini. Hampir tiga jam mereka berjalan dan berkunjung ke berbagai-bagai jenis kedai.
Gyuri berniat untuk membelikan Hongki hadiah sebagai tanda tahniah atas pameran
pertama kali yang bakal berlangsung dua hari lagi.
Hongki membelek sebuah jam poket antik ketika
di kedai perhiasan. Perbuatannya itu disedari Gyuri. Hongki pula sebak apabila
melihat jam tersebut kerana ia mengingatkannya bahawa masa yang tinggal untuknya semakin
singkat.
********
26 Januari 20XX
Pakaian yang terlekat pada tubuh Gyuri
membuatkan dia kelihatan lebih cantik ketika menari. Hongki memandang Gyuri
berlatih dengan penuh tumpuan. Ketika itulah Gyuri akan menjadi wanita
tercantik untuknya. Tiba-tiba hatinya terasa sebak apabila melihat senyuman
yang dikuntumkan oleh Gyuri untuknya. Malam nanti bakal berlaku sesuatu yang
pernah terjadi sebelum ini. Gyuri akan mati. Dirinya pula akan meratapi
pemergian Gyuri dan segala-galanya akan kembali seperti asal. Tanpa diundang,
air mata mula membasahi pipi. Hongki pantas beredar ke bilik air apabila sedar
dirinya sedang menitiskan air mata.
Gyuri menoleh ke arah tempat duduk Hongki.
Dia tidak berada di situ. Anak matanya ligat mencari kelibat Hongki. Tetap
tidak ketemu. Inilah masanya. Dia berlari anak ke arah tempat duduk Hongki. Jam
poket antik yang dibeli luar pengetahuan Hongki dimasukkan ke dalam poket
sweater Hongki. Tangannya tersentuh lembaran akhbar.
Terkedu.
Air mukanya berubah. Tatkala itu juga Hongki
kembali semula ke tempat duduknya.
“Awak ni apa sebenarnya?”
Tanya Gyuri.
Hongki tergamam. Dia tidak membalas
pertanyaan Gyuri.
“Stalker?”
Tambahnya lagi.
“Biar saya jelaskan. Awak sebenarnya kekasih
saya. Kita pernah bergaduh dan disebabkan hal tu, kemalangan menimpa diri awak.”
Jelas Hongki.
“Pergi! Saya tak nak tengok muka awak.”
Marah Gyuri.
“Tapi awak akan mati.”
Hongki meninggikan suaranya.
“Saya kata pergi!!”
Gyuri menghalau Hongki.
“Awak ni kenapa degil sangat? Saya dah kata
yang saya tak boleh pergi pameran awak esok.”
Jelas Gyuri.
Dia meneruskan latihannya tanpa mengendahkan
Hongki.
Tapp.
Lengannya disentap Hongki.
“Awak tahu kan pameran tu penting buat saya..”
“Dan pertunjukan ballet tu pula penting untuk
saya!”
Celah Gyuri.
Masing-masing tidak mahu mengalah.
********
Lampu studio dimatikan. Esok Gyuri akan
berada di atas pentas yang diidamkan selama ini. Dia melangkah keluar dari
studio untuk pulang ke rumahnya. Tiba-tiba sahaja dia teringat akan kata-kata
Hongki.
“Awak sebenarnya kekasih saya. Kita pernah
bergaduh dan disebabkan hal tu, kemalangan menimpa diri awak.”
“Tapi awak akan mati!”
Dia menggelengkan kepalanya sebelum
mengenakan earphone pada telinganya. Volume mp3 dikuatkan untuk mengusir
fikirannya tentang Hongki.
Hongki berlari sekuat hatinya apabila melihat
studio tarian telah pun menjadi gelap gelita. Lazimnya dia yang akan menjemput
Gyuri pulang untuk menemaninya setiap hari sebelum kematian Gyuri. Cuma pada
hari itu mereka berkelahi dan egonya yang tinggi membuatkan dia nekad untuk
tidak menemani Gyuri pulang. Dia tidak mahu perkara yang sama berulang lagi.
Jika ianya berlaku seperti mana sebelum ini, tiada guna peluang tersebut
diberikan untuknya.
Dari jauh Hongki telah terlihat sesusuk tubuh
seperti Gyuri. Dia menjerit berulang kali untuk memanggilnya.
“Gyuri-ssi!”
Tidak didengar.
“Gyuri!”
“Ahn Gyuri!”
Suara yang datang dari earphone itu ternyata
lebih kuat daripada suara yang berada di sekelilingnya.
“Gyuri-ssi!”
Hongki termengah-mengah kerana berlari
mengejar Gyuri.
“Gyuri!”
Matanya melilau mencari arah kenderaan yang
bakal melanggar Gyuri. Ternyata semuanya telah ditakdirkan. Sebuah kereta yang
dipandu oleh pemandu mabuk memecut laju ke arah Gyuri. Hongki yang melihat kereta
tersebut bimbang sekiranya Gyuri melintas jalan tanpa melihat kiri dan kanan
terlebih dahulu.
Lampu hijau menyala.
Gyuri mengatur langkah untuk melintas.
“Gyuri!”
Pantas Hongki berlari meluru ke arah kereta
tersebut.
BAMM!!
Bunyi hentaman yang kuat memeranjatkan Gyuri.
Dia mencabut earphone yang terlekat pada telinganya. Pantas dia menoleh. Hongki
telah pun terlantar berlumuran darah. Jam poket antik yang diberi olehnya
tercampak keluar di sisi Hongki.
Terpana.
Terkesima.
Terkejut.
Segala-galanya menjadi satu. Perasaannya
bercampur baur. Segera dia berlari mendapatkan Hongki yang kini hanya tinggal
beberapa helaan nafas.
“Hongki-ssi!”
Gyuri mendakap tubuh lemah itu.
“Tolong! Tolong!”
Dia menjerit meminta bantuan.
Air matanya mula mencurah menyembah bumi.
Lelaki itu telah menyelamatkannya dengan mengorbankan nyawa sendiri. Dia
menggoncang tubuh Hongki yang semakin lemah itu. Esakannya pula semakin kuat.
“Hongki! Andwaeee!”
Goncangan tubuh Hongki semakin kencang.
Darah yang mengalir semakin banyak membuatkan Gyuri bertambah panik. Air matanya
turut deras seperti mana darah tersebut mengalir laju. Nafas Hongki tidak lagi
kedengaran begitu juga dengan denyutan jantungnya yang semakin lenyap. Air mata
Gyuri tidak mampu dikawal lagi. Dia menangis semahunya. Lembaran akhbar yang berada di dalam genggaman Hongki ditarik olehnya. Di belakang
kertas tersebut telah tertulis beberapa baris ayat.
‘If this is how it’s going to be, I shouldn’t
have loved. When will I forget you? Foolishly, I guess I loved you so foolishly.
Because of you, I can’t even dream of another love. I’m a fool that only know
you. Severely, I guess we broke up so severely. What’s so hard about saying
goodbye that I can’t even open my lips and hesitating? You remain deeper than a
scar in my heart so I can’t erase you.’
---------------------------------------------------------------------------
TERIMA KASIH BANYAK DIATAS KESUDIAN ANDA MEMBACA
SEGALA KESALAHAN EJAAN DAN TATABAHASA HARAP DIMAAFKAN
3 comments:
Uniie ! kyaaa ~! bestt ! sukaa ! hongki T___T jonghoon auww :P . memang bestt unnie T___T sedih la plak bila ingat pasal mv tuh ;__; hongkii ... andwaeee T____T
@sha_98 - ohh thanks sbb baca :) hongki mati ke? ._. kesian dia ermm ._. hehee.
serius suka sangat cite ni..memang touching habis....ni lah first time sya nangis masa baca fanfic...pape pun saya tak sabar nak tunggu nukilan awk yang seterusnya..DARLA CAROLINA FIGHTING!
Post a Comment